KPDNHEP Kelantan sita barangan seludup bernilai RM1 juta

Iklan
Adnan (lima dari kanan) merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan dan Penyampaian Hadiah Program Promosi 'Pam&Menang' Stesen Minyak Caltex Bumi Emas Indah Sdn Bhd.

PASIR MAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menyita pelbagai jenis barangan yang cuba diseludup ke negara jiran berjumlah RM1 juta.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil operasi yang dijalankan bermula dari Januari hingga 31 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Antara barangan kawalan yang berjaya disita sepanjang operasi itu ialah petrol, diesel, minyak masak (paket), gandum dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan dan Penyampaian Hadiah Program Promosi 'Pam & Menang' Stesen Minyak Caltex Bumi Emas Indah Sdn Bhd di Kampung Pengkalan Batu, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama Pengurus Besar Kumpulan Bumi Emas, Che Din Mohamad, Pengurus Runcit Kawasan-Utara&Pantai Timur, Faizah Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad.

Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama erat antara KPDNHEP Kelantan bersama agensi-agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Jeli.

Iklan

Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan aktiviti menyeludup barangan kawalan ke negara jiran dapat dipatahkan.

"Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat menjalankan kegiatan menyalahi udang-undang negara," katanya.

Adnan berkata, sepanjang tahun lalu KPDNHEP Kelantan hanya berjaya menyita barangan kawalan berjumlah RM690,515.65.