PKR hanya terima satu surat daripada Zuraida: Saifuddin

Iklan

KUALA LUMPUR - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat saling bercanggah dalam isu pendirian 'surat Zuraida'.

Terbaharu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa parti itu hanya menerima satu surat daripada Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin bukan tiga surat seperti didakwa Zuraida.

Iklan
Iklan

"Saya cuma nak sebut tentang surat, surat yang dikirim satu dan itu telah dijawab dan dihantar pada serahan tangan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Karnival I-Keep, di sini hari ini.

Zuraida sebelum ini mendedahkan permintaan mereka yang tidak dilayan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara punca beliau dan beberapa pimpinan lain tidak menghadiri mesyuarat parti.

Iklan

Menurut Zuraida, sebanyak tiga pucuk surat telah dihantar kepada Anwar untuk membolehkan beliau dan beberapa pemimpin lain bertemu tetapi permintaan itu tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan tidak dilayan punca tak hadir mesyuarat: Zuraida

Iklan

Menurut Zuraida, surat-surat itu dihantar ke pejabat presiden dan hanya surat pertama dijawab yang menyatakan Anwar ke Makkah.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, mereka kemudiannya menghantar surat kedua, disusuli surat ketiga pada Isnin lepas tetapi sehingga kini kesemua surat berkenaan tidak mendapat maklum balas daripada presiden PKR itu.

Sementara itu, berbeza daripada kenyataan Zuraida, Anwar berkata, pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat yang dikirimkan Naib Presiden parti berkenaan, manakala untuk dua surat yang lain akan dibalas oleh Saifuddin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, walau apa pun dalam isu ini Zuraida perlu hadir mesyuarat PKR.

"Ini bukan soal damai atau tidak, datang saja mesyuarat selesaikan di sana,” katanya.

Beliau berkata tidak ada alasan untuk semua pemegang jawatan dalam parti untuk tidak hadir kerana jadual mesyuarat dimaklumkan kepada semua pimpinan secara awal pada Januari lalu.

"Soal parti semua pemegang jawatan apa jua jawatan mereka, presiden, naib ketua pemuda mereka pemegang jawatan dalam parti sama ada dipilih atau dilantik mengikut perlembagaan parti, tugasan mereka dan jawatan mereka datang dengan tanggungjawab.

"Dan bagi mudahkan semua pemimpin sekarang yang punya jawatan besar dan punya peranan berat dalam kerajaan sebagai setiausaha agung kita serahkan jadual pada awal tahun supaya mereka kosongkan jadual.

"Yang kita perlu sekarang ialah disiplin, menghormati dan jaga amanah itu lebih penting dari hantar satu surat,” katanya.