Tragedi Sungai Lembing: Operasi cari mangsa dihenti sementara

Iklan
Kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan, melibatkan 29 keluarga dan 53 orang mangsa.

KUANTAN - Operasi mencari lelaki warga emas yang dikhuatiri maut dalam kebakaran besar di Sungai Lembing semalam, dihentikan sementara hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, keputusan itu dibuat berikutan tiada petunjuk baharu diperoleh setakat 3.15 petang.

Iklan
Iklan

"Kita menangguhkan pencarian mangsa sehingga ada petunjuk baharu dan menyerahkan siasatan kepada polis atas kapasiti orang hilang untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat ini, kita telah menggunakan empat ekor anjing pengesan (K9) bomba untuk mencari mangsa, yang turut digunakan untuk membantu siasatan punca kebakaran," katanya semasa ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Iklan

Ismail berkata, pihaknya juga telah meluaskan kawasan pencarian ke bahagian kiri dan kanan rumah mangsa, Ho Yok Fun, 74, yang berkemungkinan menjadi laluan mangsa untuk menyelamatkan diri.

Pada kejadian 1.30 pagi semalam, Ho dan isterinya Chow Kim Mui, 70, disyaki terperangkap dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kedai dua tingkat yang turut dijadikan rumah pasangan itu.

Iklan

Bagaimanapun, bomba hanya menemui satu mayat dalam keadaan rentung 6 pagi semalam, dipercayai wanita berdasarkan perhiasan yang dipakai, namun mereka masih menanti keputusan forensik dan ujian DNA bagi mengesahkan identitinya.

Ismail berkata, setakat ini, pihaknya juga sudah menemubual empat saksi kejadian berhubung siasatan punca kebakaran.

Kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan, melibatkan 29 keluarga dan 53 orang mangsa. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang mangsa kebakaran ditemukan rentung

Dua mangsa terperangkap dalam kebakaran 31 premis