'Keterbukaan orang Melayu terima bangsa lain wajar dikenang'

Iklan
Ridhuan Tee

SAYA duduk di kampung Melayu dan ayah saya ialah satu-satunya orang Cina yang memulakan perniagaan di kampung itu.

Ayah saya boleh jadi kaya di kampung Melayu, berniaga dengan orang Melayu dan pelanggannya semua kaum itu. Ini saya mahu beritahu keterbukaan orang Melayu menerima orang bukan Melayu.

Kalau kita lihat kepada contoh yang lebih besar pula mengenai penghijrahan secara besar-besaran ke Tanah Melayu yang paling ramai datang ialah Cina dan diikuti India. Penghijrahan ketika itu tidak berlaku dalam jumlah yang kecil. Jika orang Melayu tidak menentang Malayan Union ketika itu, pasti bilangan orang bukan Melayu melebihi bilangan mereka.

Iklan
Iklan

Cuba lihat di negara jiran seperti Thailand, ada lebih kurang tiga peratus orang Cina daripada jumlah penduduk negara itu dan semuanya telah 'diSiamkan'. Sebab itu di Thailand mereka tidak mengaku bahawa mereka keturunan Cina.

Saya selalu bercakap tentang perkara ini sehingga ada yang menyatakan bahawa saya lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Sebenarnya jiwa saya lebih dekat dengan Melayu. Saya cuba memahami mengapa orang Melayu sangat baik memberikan kerjasama dan toleransi yang tiada tolok bandingnya.

Iklan

Sebab itu jika kita mahu tahu tentang sesuatu perkara, ia perlu dilihat kepada sejarahnya terdahulu dan bukan keadaan sekarang. Teliti semula sejarah bagaimana nenek moyang (bukan Melayu) datang ke Tanah Melayu dan diterima tinggal di sini.

Saya selalu katakan dalam keadaan baiknya orang Melayu ini, jangan pula kita pijak mereka. Baiknya orang Melayu ini sehinggakan mereka tidak pernah Melayukan orang Cina atau India. Mereka kekal dengan cara hidup mereka sehingga cakap Melayu pun tidak pandai. Nak macam mana lagi?

Iklan

Tinggal di Malaysia tetapi tidak pandai bercakap bahasa Melayu dan tidak pernah ambil tahu tentang Rukun Negara serta Perlembagaan. Kalau begitu keadaannya bagaimana mereka boleh menghormati agama Islam?

Malah kenyataan yang sangat biadab dikeluarkan dengan mendakwa Angkatan Tentera Malaysia hanya makan dan tidur.

Saya ingin menarik perhatian ramai mengenai fakta penghijrahan bangsa bukan Melayu yang ditolak oleh negara-negara lain tetapi mengapa orang Melayu meraikan penghijrah ke negara ini. Jawapannya adalah kerana agama Islam.

Saya bukan mahu puji kerana ia umpama menghina bangsa saya sendiri tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata ini. Saya telah membuat kajian dan mendapati tidak ada bangsa lain di dunia ini yang memberikan toleransi begitu besar.