Peruntukan Sukma 2020: Kerajaan negeri akan follow up

Iklan
Osman (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan Back To School di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Dewan Jubli Intan, hari ini.

KOTA TINGGI - Kerajaan negeri akan membuat 'follow up' dengan kerajaan persekutuan berhubung peruntukan untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang menyaksikan Johor sebagai tuan rumah.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kebiasaannya kerajaan persekutuan akan memberi peruntukan seperti mana Sukma di Perak sebelum ini yang menerima puluhan juta di samping bantuan lain dari kerajaan persekutuan.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH saya akan ‘follow up’. Untuk keseluruhan bajet bagi penganjuran Sukma 2020 hampir RM400 juta diperlukan termasuklah beberapa stadium akan dibina.

"Salah satunya stadium besar bernilai RM47 juta yang ketiga tercanggih di Malaysia di mana satu di Perak kedua di Nilai dan Johor ketiga.

Iklan

"Tempat untuk pembinaan kita sudah kenalpasti di Kota Iskandar. Ia akan ambil masa 23 minggu untuk pembinaan stadium itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan Back To School di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Dewan Jubli Intan, hari ini.

Iklan

Hadir sama, wakil Pengurus Besar Kejora, Hamzah Isa, Adun Sedili, Rasman Ithnain, Adun Johor Lama, Rosleli Jahari, Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Saipol Rahman Amat.

Osman berkata, pihaknya akan memohon sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah peruntukan diperlukan itu daripada kerajaan persekutuan.

Manakala separuh lagi akan dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Contohnya segala fasiliti akan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Iskandar Puteri. Esok kalau Sukma sudah habis mereka akan teruskan.

"Kita perlukan 18 bulan untuk siap sedia kerana Sukma akan bermula Julai 2020," katanya lagi.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman twitternya mempersoalkan apabila mendapati tiada sebarang perbincangan dan gerak kerja termasuk peruntukan daripada kerajaan pusat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Johor sepatutnya menganjurkan Sukma pada tahun 2020. Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) mengatakan kepada Exco Sukan dan Belia Johor (Mohd Khuzzan Abu Bakar) yang beliau ada bajet untuk Sukma bagi negeri.

"Tetapi dalam tempoh lapan bulan ini, tiada. Tiada mesyuarat, tiada jawapan dan nak jumpa pun susah. Kenapa berjanji pada mulanya,” katanya.