Penternak ikan air tawar rugi

Iklan
Norizan (kiri) mengutip bangkai ikan kerapu disangkarnya sambil dibantu dua penternak lain yang mengalami nasib sama.

BESUT - Seramai 17 penternak ikan dalam sangkar di Sungai Cawat, Kampung Seri Kemunting dekat Kuala Besut di sini berputih mata apabila banyak ternakan mereka mati.

Kerugian dialami hampir jutaan ringgit apabila ribuan ikan kerapu hibrid, siakap dan tilapia mati sejak dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

Seorang penternak, Norizan Che Mohd Nor, 37, berkata, masalah itu dipercayai berpunca daripada air buangan dari sawah di Skim Pengairan Padi Pengkalan Nangka masuk melalui Sungai Cawat mengalir melalui kawasan sangkar di tebing sungai sebelum ke Sungai Besut.

Menurutnya, dia kerugian melebihi RM100,000 apabila sebahagian daripada 11,000 ekor membabitkan tiga jenis ikan yang diternak sejak awal tahun ini mati setiap hari.

Iklan

Katanya, ikan itu dijangka mula dipasarkan akhir bulan ini sehingga pertengahan bulan September depan.

"Saya ternak 3,000 ikan kerapu hibrid dan sudah lebih daripada separuh mati.

Iklan
Norizan

"Bayangkan harga seekor ikan kerapu hibrid kami tolak kepada pemborong dengan harga RM40 seekor.

"Kami telah berbincang pada peringkat awal dulu dengan beberapa agensi berkaitan tentang kemungkinan akan berlaku kejadian seperti ini sekiranya langkah membina pintu sekatan air di sungai tidak disegerakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, air sisa buangan sawah akan mengalir keluar melalui dua laluan iaitu ke Sungai Besut dan Sungai Cawat.

Norizan berkata, kerajaan dirayu supaya mempertimbangkan bantuan kepada mereka bagi meneruskan projek ternakan yang beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu.

"Kami juga merayu supaya pintu kawalan air sawah dibina segera bagi mengelak baki ikan yang ada terus mati,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina pintu kawalan air terletak berdekatan bulatan Kampung Lampu.