Semangat The Fighters benam Kedah 5-1

Iklan
Jurulatih Felda United Mohd Nidzam Jamil dijulang pemain dan pasukan selepas berjaya mengekalkan pasukan dalam Liga Super untuk musim 2020 selepas berjaya mengalahkan Kedah pada Perlawanan Terakhir Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) malam tadi. - Foto Bernama

MARAN - Keazaman Felda United untuk kekal dalam Liga Super membakar semangat pasukan untuk menewaskan Kedah 5-1 pada perlawanan penutup tirai di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, semalam.

Pengendalinya, Mohd Nidzam Jamil berkata perlawanan antara hidup dan mati buat skuad kendaliannya dianggap sesuatu yang 'gila' serta mendebarkan dalam menantikan tamatnya tempoh 90 minit waktu permainan.

Iklan
Iklan

"Pemain sangat bekerja keras untuk mencatat kemenangan dan kita terpaksa berjuang sehingga ke minit akhir perlawanan.

"Kad merah terhadap pemain Kedah, Renan Da Silva mungkin antara faktor kejayaan besar kami, tapi saya percaya motivasi pemain untuk kekal dalam Liga Super musim depan dan tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan PJ City dan PKNP FC yang menjadi faktor utama," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Iklan

Pada perlawanan itu, The Fighters membuka tirai jaringan melalui Jocinei Schad pada minit ke-6, disusuli gol Muhammad Faiz Mazlan pada minit ke-32 sebelum Kedah bangkit menghasilkan gol pada minit ke-78 hasil sepakan penalti Jonatan Jesus Bauman.

Tuan rumah kemudiannya menokok gol ketiga menerusi Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal (minit ke-85) diikuti dua gol jaringan Jazasrin Jamaludin dan Kei Ikeda (minit ke-90+2 dan 90+3).

Iklan

Mohd Nidzam mengakui tahun pertamanya mengendalikan Felda United musim ini merupakan satu cabaran besar dan beliau bersyukur kerana mengakhirinya dengan agak baik apabila berjaya mengelakkan pasukannya tersingkir ke Liga Premier.

"Sejak daripada awal musim pelbagai perkara berlaku dengan bermacam desas-desus dalam pasukan. Sekarang saya boleh tidur lena dan fokus kepada persiapan mengharungi kempen Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata beberapa kesilapan dilakukan anak buahnya telah menghukum pasukan dengan kekalahan selain mengakui semangat juang lawan yang begitu tinggi.

"Perlawanan malam ini pula menyaksikan pemain hilang fokus apabila Renan Da Silva menerima dua kad kuning dan akibatnya kita melepaskan tiga gol pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Aidil Sharin bagaimanapun menegaskan keputusan semalam, tidak menjejaskan tumpuannya untuk mempersiapkan pasukan Helang Merah ke final Piala FA dan memulakan saingan Piala Malaysia. -Bernama