Dr Mahathir individu sesuai redakan ketegangan Anwar-Azmin

Iklan
Dr Mahathir mendengar sesuatu penerangan daripada Anwar (kiri) pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018/2021, di sebuah hotel malam tadi. - Foto Bernama (Gambar kecil: Dr Ahmad Marthada)

SHAH ALAM - Politik negara kembali hangat apabila berlaku pergeseran terbuka antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Umum mengetahui konflik dalam PKR berlaku sejak sekian lama, namun dakwaan berkenaan dipatahkan dengan hujah menyatakan setiap pemimpin boleh berbeza pendapat tetapi akhirnya soal pengukuhan parti menjadi keutamaan.

Iklan
Iklan

Namun kali ini isu pertelagahan itu berbeza berbanding isu-isu yang pernah berbangkit seperti Langkah Kajang dan Pemilihan PKR kerana pertikaian lebih terarah kepada soal peribadi bermula dengan penyebaran video intim dikaitkan dengan Azmin.

Persoalan yang timbul sekarang, adakah konflik itu akan berterusan sehingga mewujudkan perpecahan ketara atau akan diselesaikan dengan mencari satu titik persefahaman? Bagi mendapatkan pandangan berkaitan isu tersebut, Sinar Harian menemu bual penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed.

Iklan

Berdasarkan pertikaian yang berlaku antara Anwar dan Azmin, adakah ia memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH)?

AHMAD MARTHADA: Umum mengetahui terdapat dua kem dalam PKR dan masing-masing mempunyai pengikut yang kuat. Apabila pertikaian berlaku lebih-lebih lagi melibatkan pimpinan tertinggi parti itu, ia secara tidak langsung merosakkan kredibiliti PKR sendiri.

Iklan

Ia sepatutnya diselesaikan segera lebih-lebih lagi PH selaku kerajaan Malaysia hari ini juga sedang berdepan dengan isu kepercayaan dan sokongan rakyat. Mungkin penyelesaian dalaman atau melalui pihak luar adalah jalan terbaik.

Siapakah pihak luar yang dimaksudkan itu?

AHMAD MARTHADA: Individu yang sesuai ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau dihormati kawan dan lawan. Walaupun ia bukan parti Dr Mahathir tetapi isu ini perlu diberikan perhatian serius kerana ada kesan kepada PH.

Adakah suatu keperluan bagi pimpinan parti untuk menyatakan sokongan sama ada kepada Anwar atau Azmin?

AHMAD MARTHADA: Ia sama sekali tidak perlu kerana telah menyebabkan situasi lebih buruk. Ia memperlihatkan kebenaran yang sebelum ini dinafikan. Anwar itu ialah Presiden PKR, jadi pemimpin perlu akui dan tidak perlu nyatakan sokongan melalui tandatangan.

Selaku Presiden PKR, apakah jalan terbaik perlu diambil oleh Anwar?

AHMAD MARTHADA: Anwar perlu lebih berhemah dalam tindakannya. Beliau sepatutnya menjadi pendamai dan bukan menyebelahi mana-mana pihak. Beliau perlu menjadi pihak yang meredakan keadaan. Sebagai Presiden juga, kenyataannya sebelum ini meminta individu terlibat dengan video intim perlu meletakkan jawatan juga tidak sesuai.