Tak dapat duit belanja, anak mengamuk guna kapak

Iklan
Gambar ilustrasi hiasan. Gambar kecil: Abdul Rahim

KUALA TERENGGANU - Bengang bapanya tidak mahu memberi wang belanja, seorang pemuda mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah menggunakan kapak, di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu disedari bapa suspek, 51, setelah pulang ke rumah dan melihat anak lelakinya berusia 20 tahun sedang memecahkan barang-barang di dalam rumah termasuk singki, ruang tamu, tingkap, cermin pintu dan televisyen dengan senjata itu.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek turut bertindak memecahkan cermin kereta milik ayahnya sebelum menghilangkan diri.

"Suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan ayahnya yang tidak mahu memberikan wang belanja.

Iklan

"Difahamkan, sebelum itu bapa suspek ada memberikannya wang belanja RM1,000 dan suspek telah menghabiskannya dalam masa beberapa hari," katanya.

Menurut sumber, suspek bengang apabila bapanya menuduh wang tersebut dihabiskan untuk berjoli walaupun dia berkali-kali menjelaskan wang tersebut sudah tercicir.

Iklan

"Jumaat lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam, suspek sekali lagi datang menemui bapanya yang ketika itu sedang bekerja di sebuah kedai makan untuk meminta wang.

"Suspek merayu agar diberikan sejumlah wang, tetapi ayahnya memujuk agar pulang ke rumah kerana bimbang dia akan mengamuk di depan pelanggan," katanya.

Bimbang keselamatan ahli keluarga yang lain, ayah suspek mengambil keputusan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.