Jawatankuasa diwujudkan beri input kemudahan mesra OKU

Iklan
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA - Satu jawatankuasa akan diwujudkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memberi input dan nasihat kepada kementerian dalam penyediaan kemudahan asas mesra orang kurang upaya (OKU) untuk projek perumahan dan bangunan awam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana penyediaan kemudahan dan infrastruktur untuk golongan OKU pada masa ini masih kurang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata kemudahan dan infrastruktur untuk kegunaan golongan OKU bagi bangunan besar di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah memuaskan, bagaimanapun akses golongan itu kepada bangunan-bangunan kecil perlu dipertingkat.

"Justeru, perlu ada jawatankuasa dibentuk yang bertindak memberi input kepada KPKT untuk menjaga keperluan OKU dalam masa enam bulan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama beberapa wakil golongan OKU di pejabatnya di sini hari ini.

Iklan

Zuraida berkata, KPKT juga mahu golongan OKU memainkan peranan sebagai penasihat kepada PBT mengenai keperluan OKU dalam pembangunan fizikal negara secara menyeluruh.

Selain itu, katanya kerajaan Pakatan Harapan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap golongan OKU dengan membuka permohonan pembelian rumah dalam projek perumahan yang disediakan KPKT kepada mereka. - Bernama

Iklan