Ketepi fahaman politik

Iklan
Anggota Jabatan Amal dan APM Marang yang terlibat membersihkan rumah penduduk di Taman Perumahan Darul Iman.
MARANG - Pemuda Pas mula menggerakkan jenteranya menerusi Jabatan Amal Kawasan Marang untuk membantu mangsa yang terlibat dalam bencana banjir di daerah ini.

Ketua Operasi Jabatan Amal Kawasan Marang, Mohd Shahrul Azmi Othman berkata, sekumpulan anggota terbabit ditempatkan di lokasi terjejas bagi membantu pihak berkuasa.

Menurutnya, sebelum itu, pihaknya telah menyusun 3 fasa dalam melancarkan perjalanan operasi iaitu menyelamat, memindahkan mangsa dan membersihkan kediaman.

"Untuk menjayakan misi tersebut, melalui Jabatan Amal Kawasan Marang, kami akan menerima maklumat dari Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Marang sebelum memulakan operasi.

"Kita juga akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan terlibat agar bantuan tenaga yang dihulurkan dapat mencapai sasaran serta objektif yang ditetapkan," katanya, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shahrul Azmi mengetuai kerja kerja membersihkan rumah penduduk di Taman Perumahan Darul Iman Kelulut bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Hadir sama, Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Zabri Abd Razak. Turut menyertai gotong royong tersebut adalah ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kelulut.

Di dalam situasi semasa, katanya, Jabatan Amal Kawasan Marang berharap agar semua pihak dapat berganding bahu meringankan beban mangsa banjir dan mengenepikan fahaman politik.

"Pendekatan ini untuk memastikan agar bantuan yang dihulurkan lebih berkesan melibatkan keseluruhan mangsa yang terjejas khususnya yang memerlukan perhatian segera," katanya.

Jabatan Amal Kawasan Marang dilengkapi dengan kemudahan bot dan pelbagai peralatan keselamatan dalam misi membantu mangsa terlibat banjir di daerah berkenaan.