Enam MP dilantik anggota jawantankuasa bantu pentadbiran KL

Iklan
Khalid

PUTRAJAYA - Majlis Menteri melantik enam Ahli Parlimen di Kuala Lumpur sebagai anggota jawatankuasa untuk mengisi beberapa portfolio dalam membantu tugas Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata penyerahan watikah pelantikan itu yang dibuat pada Isnin lepas membabitkan Ahli Parlimen (MP) yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menteri, timbalan menteri atau duta khas.

Iklan
Iklan

MP serta portfolio yang dipegang adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) untuk Pendidikan; Fong Kui Lun (Bukit Bintang) bagi Pelancongan, Seni dan Budaya; P. Prabakaran (Batu) untuk Belia dan Sukan; Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) untuk Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita; Lim Lip Eng (Kepong) untuk Trafik dan Infra dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai) bagi Sosial dan Pembangunan Ekonomi.

"Kita mahu pastikan MP di Kuala Lumpur ini turut terlibat dalam pengurusan pentadbiran kerajaan walaupun tidak dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau duta khas agar mereka mendapat pendedahan dan pengalaman dalam hal pentadbiran dan pemerintahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Iklan

Menurut Khalid, kebanyakan portfolio akan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beliau akan mempengerusikan portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya manakala timbalannya Datuk Dr Shahrudin Mohd Salleh mempengerusikan portfolio Sosial dan Pembangunan Ekonomi.

Dalam pada itu ditanya mengenai mogok peniaga 'food truck' berdekatan Dataran Merdeka semalam kerana DBKL tidak memberi lesen untuk berniaga di kawasan terbabit, Khalid berkata perkara itu telah berjaya diselesaikan.

Iklan

"Mula-mula apabila kita nak pindah di kawasan itu ramai yang merungut susah dan sebagainya tetapi sekarang tiba-tiba mereka nak masuk (berniaga).

"Mula-mula dibuka cuma ada 12-14 food truck berminat tapi sekarang ada 40 peniaga food truck yang nak menyertai. Oleh itu kita putuskan mereka akan mengambil giliran untuk meniaga di sepanjang bangunan Sultan Abdul Samad dan perkara ini akan dibincang secara lanjut dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata pertukaran lokasi jualan di Jalan Raja, Kuala Lumpur bagi menggantikan gerai jualan di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India dianggap berjaya.

"Kita akan membuat post mortem selepas ini dan kemudian kita akan berkongsi keadaan sebenarnya tapi dengar-dengar ramai yang gembira malah ada peniaga yang hantar hadiah baju Melayu kepada saya dan saya anggap dia gembiralah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kertas cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi projek pembangunan Taman Rimba Kiara dijangka siap selewat-lewatnya esok bagi diedarkan kepada kementerian berkaitan dan Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan ulasan dan komen pada minggu hadapan. - Bernama