Masak lemang dalam tong dram

Iklan
Nik Suhaimy menyusun lemang ke dalam tong dram untuk dimasak.

KUANTAN- Keunikan cara memasak lemang dalam tong dram yang dilakukan seorang peniaga di sebuah gerai di sini berjaya menarik perhatian ramai.

Gerai yang terletak di Jalan Kuantan- Sungai Lembing, itu diusahakan pasangan Nik Suhaimy Sulaiman, 41, dan isterinya, Yusmazetty Mohamed Yusof, 33 sejak awal Ramadan lalu.

Nik Suhaimy

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea memasak lemang dalam tong dram diilhamkan oleh seorang rakannya dari empat tahun lalu selepas dia terlibat dalam satu program dakwah di Perak.

"Sekitar tahun 2016, kawan saya datang berjumpa dan memberikan idea untuk buka perniagaan lemang. Pada awalnya saya tolak sebab tak berminat dan ada pengalaman berniaga lemang yang sangat memenatkan serta memakan masa lama untuk masak.

Iklan

"Tapi disebabkan kawan tidak putus asa memujuk, saya bersetuju untuk berniaga dan dia menyuruh saya mencari tong dram untuk digunakan bagi memasak lemang,” ketika ditemui di gerainya hari ini.

Beliau berkata, percubaan pertama memasak lemang dilakukan di Masjid Kampung Padang Perdana di sini dan diberikan secara percuma kepada jemaah masjid di kawasan tersebut.

Iklan

Katanya, lemang dihasilkan melalui kaedah memasak dalam 'tong dram' mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

Nik Suhaimy dan isterinya melihat lemang yang dimasak menggunakan tong dram.

"Bila dapat respons baik saya muka menjualnya di sekitar taman perumahan dan kini saya menjual secara terbuka bagi mendapat pelanggan baru.

"Terus terang saya cakap kini lemang tong dram yang saya masak dapat perhatian dan sambutan baik daripada pengusaha hotel sekitar Kuantan dengan tempahan diterima daripada mereka setiap tahun bagi jamuan majlis rumah terbuka juga menggalakkan,” katanya.

Jelasnya, berbeza dengan memasak lemang menggunakan kaedah tradisional yang perlu sentiasa menjaga api bagi memastikan tidak ada bahagian buluh yang rentung.

Nik Suhaimy berkata, apabila menggunakan tong dram, kadar nyalaan api bersesuaian boleh ditetapkan dan ini membolehkan lemang dimasak dengan lebih mudah dan cepat.

"Lemang yang masak dalam masa antara 2 jam 30 minit atau paling cepat, 1 jam 50 minit dan masakannya lebih sekata,” katanya yang mampu menjual antara 30 hingga 50 batang lemang setiap hari.

Tambahnya, setiap tong pula mampu memuatkan sehingga 33 batang lemang dan buat masa ini dan memiliki tujuh tong dram dan bercadang untuk menambah tiga lagi menjelang hujung bulan ini sebagai persediaan bagi pelbagai majlis rumah terbuka sepanjang Aidilfitri awal bulan depan.

Ketika ditanya mengenai nama 'Lemang 40 Hari Viral' yang dipilih, Nik Suhaimy berkata, ia berkaitan dengan tempoh berkelana ketika mengikut jemaah tabligh sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

Katanya, cadangan untuk berniaga lemang juga diberikan rakannya sebaik beliau selesai menjalani program dakwah selama 40 hari di seluruh negara.

"Dia (rakan) datang selepas saya selesai mengikut jemaah tabligh berdakwah... walaupun (pada awalnya) saya kurang berminat, tapi selepas diterangkan mengenai tong dram digunakan untuk memasak lemang, saya berilah peluang dan nampaknya ia mendatangkan hasil yang baik.

"Ketika sedang mencari nama untuk perniagaan ini, nama '40 hari' terlintas kerana saya pun baharu sahaja selesai berdakwah 40 hari, jadi dari situlah kita pilih nama 'Lemang 40 Hari Viral' dan ia menjadi daya penarik tambahan kepada perniagaan ini," katanya.

Selain menjual lemang, gerai itu juga menyediakan pilihan rendang dan serunding yang dihasilkan sendiri serta ditempah daripada pengusaha di sekitar daerah ini.

Gerai itu beroperasi dari jam 1 tengah hari hingga jam 8 malam dengan harga RM12 sebatang.