Kerana jerebu ramai lupa Monsun Timur Laut

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

KETIKA ini ramai membincangkan tentang isu jerebu 'kiriman' Indonesia yang melanda Malaysia dengan beberapa kawasan terutama di Johor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Pelbagai saranan diberikan kepada umum agar mengurangkan aktiviti luar daripada premis kerana dibimbangi udara yang kotor memberi kesan kepada kesihatan.

Iklan
Iklan

Begitu juga Kementerian Pendidikan juga telah memberikan kuasa kepada pihak sekolah untuk menutup sekolah tanpa menunggu kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya keadaan jerebu semakin teruk dengan bacaan IPU melebihi 200.

Bagaimanapun, jangan dilupakan tentang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Iklan

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ramalan hujan lebat berterusan adalah disebabkan Fasa Peralihan Monsun di mana arah angin berubah mengakibatkan beberapa negeri dijangka mengalami banjir.

Di pihak kerajaan telah nampak ada persediaan seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali yang telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meningkatkan kesiapsiagaan di 89 daerah berisiko tinggi banjir sepanjang musim MTL.

Iklan

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan juga telah menyatakan kesediaan mereka bagi menghadapi situasi banjir menerusi kemudahan fasiliti masing-masing.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, terdapat klinik dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya berlaku kejadian banjir sepanjang MTL.

Oleh itu, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat terutama kawasan rendah dan berisiko banjir adalah sentiasa peka dengan sebarang pemakluman serta melakukan persediaan mencukupi termasuklah berkaitan keperluan makanan.

Jangan kerana sayangkan kediaman, nyawa sendiri diletakkan dalam bahaya.

Begitu juga koordinasi antara Nadma dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang berada di setiap daerah perlu diperkemaskan agar bantuan dapat disalurkan dengan baik dan tiada mangsa yang tertinggal menerima bantuan.

Tragedi banjir besar di Selangor perlu menjadi pengajaran di mana koordinasi antara semua pihak itu penting bagi memastikan bantuan kepada mangsa itu datang lebih awal.