DPA perlu dilaksanakan secara telus

Iklan

SHAH ALAM - Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) perlu dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab agar tidak menimbulkan kebimbangan tentang akauntabiliti serta keadilan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyifatkan DPA adalah kaedah atau alat yang penting dalam menangani kes-kes rasuah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, ia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu diperhalusi secara teliti.

"Namun, jika tidak dilaksanakan dengan telus, DPA boleh menimbulkan kebimbangan tentang akauntabiliti dan keadilan. Ramai juga mengkritik DPA mungkin terlalu lembut terhadap syarikat-syarikat yang akan melemahkan aspek pencegahan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Iklan

Menurutnya, menghadkan DPA kepada syarikat sahaja mungkin mengabaikan pelaku individu yang memainkan peranan penting dalam kes-kes rasuah.

"DPA jelas terbukti berkesan di pelbagai bidang kuasa di seluruh dunia. Contohnya, dalam skandal Airbus, Pejabat Serius Penipuan UK telah mendapatkan DPA dan menghasilkan denda besar serta pemulihan harta.

Iklan

"Keberkesanannya boleh berbeza dan terdapat hujah bahawa DPA mungkin tidak seketat pendakwaan jenayah, yang mungkin membolehkan pelaku melarikan diri daripada pertanggungjawaban sepenuhnya," jelasnya.

Mengulas lanjut, Jais berpendapat DPA tidak harus eksklusif kepada syarikat sahaja.

"Walaupun ia penting untuk pematuhan korporat dan pemulihan harta, individu juga boleh memainkan peranan dalam kes-kes rasuah.

"Oleh itu, DPA harus diterapkan berdasarkan kes demi kes tertentu, mengambil kira tahap keterlibatan individu. Eksklusif kepada syarikat sahaja mungkin tidak sesuai dalam kes-kes di mana individu adalah penjenayah utama," katanya.

Jais turut menyatakan sokongan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan berharap ia dilaksanakan dengan pertimbangan teliti dan pelaksanaan yang bertanggungjawab.

"Matlamat utamanya haruslah sentiasa pemulihan harta yang dicuri dan menangkap penjenayah, sama ada mereka adalah syarikat atau individu," jelasnya.