Gorgon bantu bomba padam kebakaran

Iklan
Sayani (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Serai Gorgon 1 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Premier Dato' Sri Ts Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Perak pada Selasa.

IPOH - Operasi mengawal kebakaran serta menyelamatkan mangsa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini lebih selamat dengan penglibatan robot dikenali Serai Gorgon 1 yang dihasilkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata, penghasilan robot berkenaan diilhamkan bersama enam anggota balai berkenaan dengan menggabungkan kemahiran masing-masing dengan sokongan semua pihak di JBPM Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inovasi berkenaan telah dihasilkan sejak setahun yang lalu dan menjalani beberapa ujian selama lima bulan sebelum diperakui keupayaannya membantu anggota bomba dan penyelamat menjalankan tugas mengawal kebakaran.

"Idea untuk menghasilkan Serai Gorgon ini tercetus apabila kita tengok setiap hari anggota berdepan risiko memadam kebakaran malah ada juga yang cedera dan meninggal dunia ketika bertugas.

Iklan
Serai Gorgon 1 menunjukkan aksi memadam kebakaran ketika membuat demonstrasi sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Premier Dato' Sri Ts Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Perak pada Selasa.

"Jadi, penghasilan robot ini dapat membantu mengurangkan risiko kepada anggota yang bertugas kerana robot berkenaan mampu memasuki kawasan-kawasan sukar dan berisiko bagi memadam kebakaran," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi memadam kebakaran oleh Serai Gorgon 1 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Premier Dato' Sri Ts Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama menyaksikan demonstrasi tersebut dan melancarkan Serai Gorgon 1 itu, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Iklan

Ahmad Noor Syamsi berkata, robot tersebut pada awalnya dihasilkan menggunakan barangan terpakai yang mudah didapati dengan kos pembikinan RM31,000.

Katanya, setelah melepasi beberapa ujian, Serai Gorgon 1 itu sudah pun dihantar ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk dipatenkan.

Jelasnya, robot tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dihasilkan oleh anggota bomba dan penyelamat bagi tujuan operasi.

"Kita telah gunakan robot ini untuk operasi pemadaman kebakaran terbuka dan selepas ini digunakan untuk operasi-operasi lain.

"Robot mempunyai kekuatan seperti lima orang anggota bagi satu-satu operasi tetapi ia bukanlah bertujuan menggantikan anggota tetapi membantu mengurangkan risiko ketika bertugas," katanya.

Menurutnya, robot tersebut turut mempunyai keupayaan membawa beban sehingga 250kg selain diperbuat daripada bahan kalis api dan air dengan hanya dikendali oleh dua orang sahaja.

Ahmad Noor Syamsi berkata, dengan pengiktirafan dan perakuan yang diterima daripada Ibu Pejabat JBPM Perak, Serai Gorgon 1 sedia membantu dalam sebarang operasi kebakaran dan penyelamatan di negeri ini.