SPR terima pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Jepak

Iklan
SPR telah menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Talib Zulpilip.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Talib Zulpilip.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, suruhanjaya itu akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak Jepak, Sarawak Isnin depan.

Iklan
Iklan

"Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi Dun Jepak, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh untuk membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh penamaan calon, hari mengundi selain daftar pemilih yang akan digunakan.

Iklan

"Satu sidang akhbar akan diadakan sejurus mesyuarat tersebut," katanya.

Dr Talib yang genap 72 tahun pada 13 September lalu menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.50 petang Jumaat lalu setelah tekanan darahnya susut mendadak.

Iklan

Difahamkan, bekas Menteri Ombudsman dan Integriti Sarawak itu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Pusat Rawatan Pakar Normah pada Khamis akibat komplikasi buah pinggang dan beberapa sakit lain.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah dan empat anak, termasuk dua anak tiri.