KUALA LUMPUR - Seramai 48 finalis daripada 17 pasukan terbaik seluruh ASEAN membangunkan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan geospatial (GeoAI) bagi menangani cabaran dunia sebenar termasuk pengurusan bencana, perubahan iklim, pertanian dan pembangunan bandar.
Usaha itu direalisasikan menerusi ASEAN GeoAI Fusion 2026 yang menghimpunkan bakat, industri, akademia dan pemegang taruh ASEAN dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta teknologi geospatial.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program berkenaan mencerminkan usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai penggerak ekosistem dalam menghubungkan pelbagai pemegang taruh untuk meneroka teknologi baharu, memperkukuh keupayaan serta menggalakkan pertukaran kepakaran antara Malaysia dan negara ASEAN.
"Sejak dilancarkan, program berkenaan menarik lebih 1,100 peserta, sekali gus memperlihatkan potensi besar rantau ini dalam penggunaan teknologi GeoAI.
"Teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk sistem amaran awal bencana, pemantauan risiko iklim, pengurusan pertanian, perancangan bandar mampan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan ASEAN GeoAI Fusion 2026 di Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Selain pertandingan, ASEAN GeoAI Fusion 2026 menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pembinaan rangkaian antara peserta, pakar industri, akademia dan pembuat dasar, di samping membuka peluang memperluaskan penggunaan GeoAI, mengembangkan bakat serta mengenal pasti potensi kerjasama di Malaysia dan rantau ASEAN.
Menerusi program itu, MCMC turut menggalakkan kolaborasi antara industri, institusi pengajian tinggi, kerajaan dan rakan strategik dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang relevan kepada keperluan rakyat, industri dan negara, seterusnya memperluas jaringan kerjasama serantau.