Jurutera perkapalan dituduh bunuh penjawat awam

Iklan
Harun Narresat (tengah) dikawal ketat polis ketika tiba di mahkamah pada Khamis.

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Seorang jurutera perkapalan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang penjawat awam dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Machang pada 3 September lalu.

Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, didakwa di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Iklan
Iklan

Harun Narresat mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan itu, Harun Narresat didakwa membunuh Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di sebuah kedai makan berhadapan Hospital Machang di Jalan Pasir Puteh Lama, Machang pada jam 11.30 pagi.

Iklan

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tg Shariffudin.

Iklan

Mahkamah menetapkan 13 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Sebelum itu, akhbar melaporkan satu pergaduhan berlaku antara dua lelaki hingga meragut nyawa seorang daripada mereka selepas dipercayai ditumbuk hingga mengakibatkan pendarahan serius pada bahagian muka, parah kedua-dua mata dan patah tulang rusuk kiri.

Lelaki terbabit kemudian meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Machang.