Nelayan dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan

Iklan
Anggota Maritim Malaysia meneruskan pencarian mangsa yang hilang dengan memperluaskan sektor pencarian kepada 43 batu nautika persegi pada Ahad. (Gambar kecil: Mohamed Romlan)

KUANTAN - Seorang nelayan warga emas dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan menggunakan bot gentian kaca di lokasi kira-kira 1.5 batu nautika timur laut Kuala Pahang, Pekan pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, mangsa, Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan keluar ke laut seorang diri kira-kira jam 5 pagi dan sepatutnya pulang ke jeti sekitar jam 11 pagi hari sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan maklumat diterima, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

"Pencarian mangsa turut dibantu rakan-rakan nelayan namun sehingga jam 2 petang pada Ahad, mangsa masih belum ditemui.

Iklan

"Maritim Malaysia meneruskan pencarian dengan memperluaskan sektor pencarian kepada 43 batu nautika persegi dengan dibantu beberapa bot nelayan tempatan," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Kamal Ariffin berkata, berikutan kejadian, komuniti maritim yang melakukan sebarang aktiviti di laut diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti suar pengesan peribadi (PLB).

Iklan

"Sebarang aduan dan kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," jelasnya.

-