Mengulas mengenai FKP 2023, Mohamad Rizan menyatakan pihaknya berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 51 usahawan kraftangan khususnya dari negeri Perak selain menyasarkan jualan sebanyak RM1 juta sepanjang festival itu yang telah bermula pada 25 Ogos lalu sehingga 3 September ini.
Malah, jangkaan kehadiran pengunjung sepanjang FKP 2023 yang bertemakan ‘Membudayakan Seni kraf Malaysia’ itu menurutnya adalah seramai 75,000 orang.
"Penganjuran FKP 2023 ini menjadi platform kepada para usahawan kraftangan mempromosi serta memasarkan produk keluaran mereka secara terus kepada para pengguna meliputi kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil tanah, kraf logam dan kraf aneka,” katanya lagi.
FKP 2023 merupakan inisiatif khas bagi menonjolkan keunikan, memperkasakan budaya dan warisan negeri Perak serta merupakan sebahagian daripada Program flagship Ekonomi Pengalaman di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Bagi memperkukuhkan seni warisan kraftangan negeri, Tourism Perak turut menyediakan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera berjumlah RM182,000 kepada 90 usahawan kraftangan.