YBR salur bantuan awal pengajian kepada 334 pelajar cemerlang

Iklan
Philip Benedict (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat kepada salah seorang penerima di SMK Bahang, Penampang. Turut kelihatan Syaiful Rizal (dua dari kiri).

PENAMPANG - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, Sabah menyalurkan bantuan awal pengajian kepada 334 pelajar cemerlang di kalangan B40 dalam satu majlis pada Sabtu.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, bantuan tunai yang disampaikan itu sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada setiap pelajar yang telah bertungkus-lumus menunjukkan prestasi cemerlang.

Iklan
Iklan

"Melalui inisiatif ini, YBR telah memberi bantuan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan.

"Bagi meneruskan usaha dalam melestarikan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia, bantuan hari ini merangkumi pelajar matrikulasi serta IPTA dan IPTS yang menerima Bantuan Awal Pendidikan YBR," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR telah disempurnakan oleh Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Sektor Perancangan, Germaine Marcella Sikijip dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Iklan

Sementara itu, Jannie merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan YBR dalam membantu golongan memerlukan khususnya pelajar kurang berkemampuan.

"Usaha ini merupakan satu kerjasama yang padu bersama badan korporat di mana ia merupakan titik permulaan yang baik dalam membantu mereka yang memerlukan dan membuktikan warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta yang lain untuk mencapai matlamat pendidikan yang ingin dikecapi," ujar beliau.

Dalam pada itu, penerima bantuan, Adriano Gatino, 18, berkata, pendidikan mampu mengubah nasib kehidupan keluarganya untuk ke peringkat seterusnya.

Bagi pelajar Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu, Norazlin Amit @ James, 20, menyatakan bantuan yang diterima akan digunakan untuk membeli keperluan asas sebagai persediaan awal sebelum memulakan semester baharu tidak lama lagi.