BALIK PULAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi di kawasan Melayu supaya memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu.
Menurut beliau, pengundi Cina sudah terjamin akan memberi sokongan kepada gabungan baharu itu.
"Saya minta kali ini, saya nak kawasan Melayu terutamanya, beri sokongan kepada calon-calon kita, PH dan BN. Boleh tak?
"Pengundi Cina nampak teratur dan terjamin. Insya-Allah ini amanah yang kita akan pikul untuk membela nasib rakyat," katanya ketika memberi ucapan di hadapan puluhan penyokong di sebuah kedai makan di Sungai Pinang, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis, Anwar berkata, beliau tidak bersetuju dengan tinjauan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Khamis.
Menurut tinjauan itu, hanya 24 peratus pengundi Melayu menyokong dan berpuas hati dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Saya tidak bersetuju dengan itu. Itu analisis yang cacat. Mungkin mereka ambil dari Kelantan berbanding Selangor.
"Banyak negeri kita yang kita lakukan dengan sangat baik. Saya sangat optimistik," katanya.
Sebelum ini, satu tinjauan mencadangkan hanya satu daripada empat orang Melayu, di negeri yang mengadakan PRN berpuas hati dengan prestasi Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Dapatan itu berdasarkan tinjauan melibatkan 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor and Pulau Pinang yang dijalankan oleh Ilham Centre, bulan lalu.
Responden dipilih secara pensampelan rawak berstrata menunjukkan hanya 24 peratus orang Melayu berkata mereka berpuas hati dengan Anwar berbanding masyarakat Cina (88 peratus) dan India (81 peratus) yang amat positif.