Hadkan tempoh khidmat di agensi penguatkuasaan

Iklan
Zainal Adnan

SHAH ALAM - Tempoh perkhidmatan seseorang individu yang terlalu lama di posisi mana-mana jabatan dalam agensi penguat kuasa boleh memberi ruang untuk terlibat dengan rasuah.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, bagi mengelakkan jenayah itu berlaku, tempoh had penempatan seseorang anggota penguat kuasa perlu dihadkan.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana anggota penguat kuasa yang didapati melakukan rasuah.

"Jika dikenakan kadar denda yang rendah, sudah pasti mereka tidak akan rasa terbeban memandangkan jumlah keuntungan yang diperoleh hasil daripada jenayah rasuah yang dilakukan lebih tinggi,” katanya kepada Rasuah Busters.

Iklan

Menurut Zainal Adnan, bagi membendung rasuah, beberapa mekanisme boleh digunakan untuk menggalakkan orang ramai atau pekerja untuk memberikan maklumat mengenai jenayah itu.

Jelas beliau, pemberian insentif misalnya, akan menyebabkan mereka berasa lebih dihargai setelah berkongsi maklumat.

Iklan

"Bagi agensi penguat kuasa, penghargaan boleh diberikan menerusi peningkatan dalam penilaian prestasi pekerja ataupun kenaikan gaji,” katanya.