Rasuah dalam industri perkapalan libatkan kes kecil

Iklan
Norazlan menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Simposium Antirasuah Bersama Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia yang dianjurkan oleh SPRM di Wisma MISC pada Khamis. - Foto Bernama
CYBERJAYA - Kebanyakan kes rasuah dalam industri perkapalan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan kes rasuah kecil dan kakitangan pangkat rendah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

"Walaupun begitu, ia bukan alasan untuk SPRM tidak melihat perkara itu dengan serius dan tidak memberi perhatian,” katanya pada majlis penutup Simposium Antirasuah dengan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia di sini pada Khamis.

Beliau berkata, SPRM menerima maklumat dan aduan melibatkan kesalahan seperti menerima dan memberi rasuah, salah guna kuasa dan kes berkenaan sedang disiasat.

Menekankan keperluan untuk meningkatkan tadbir urus dalam industri perkapalan, Norazlan berkata persepsi berhubung rasuah dalam industri itu adalah penting kerana ia juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Penting bagi semua pemain industri untuk menjaga bukan sahaja reputasi organisasi mereka sendiri, tetapi juga negara kira, serta mengelak daripada dianggap korup untuk kesejahteraan perniagaan mereka,” katanya pada simposium bertajuk"Solidarity In the Maritime Industry: Fight Against Corruption" yang dianjurkan bersama MISC Bhd.

Norazlan turut mendedahkan MISC ialah syarikat perkapalan pertama di Malaysia layak untuk Skim Potongan Cukai Khas atas inisiatif pencegahan rasuahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia, Mohamed Safwan Othman ketika ditemui berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan SPRM untuk meningkatkan kesedaran tentang rasuah yang boleh menjejaskan industri perkapalan di Malaysia.

"Kita mengakui ada ketirisan dan rasuah dalam industri ini, namun tidak dilaporkan. Jumlah tersebut tidaklah banyak, namun (kes) masih ada,” katanya dan menambah jumlah kes yang dilaporkan berada pada tahap minimum.

Menurutnya, antara kes yang dilaporkan ialah meminta sekarton rokok bagi mempercepat urusan di pelabuhan, serta kes penjualan minyak diesel kepada pihak ketiga di tengah lautan. - Bernama