Tiada parti dalam Kerajaan Perpaduan percaya kepada Pas

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa tiada parti dalam Kerajaan Perpaduan percaya kepada Pas setakat ini.

Presiden UMNO itu berkata, beliau secara peribadi juga sudah serik dengan parti tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya serik dengan parti berkenaan. Mereka telah berkahwin secara mut'ah, dalam bidang politik ertinya kahwin (secara) sementara.

"Setakat tidak ada parti di kalangan kami (Kerajaan Perpaduan) percaya kepada Pas sebab mereka telah tidak mengotakan janji, ikrar, piagam (Muafakat Nasional) yang telah dipersetujukan bersama," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas tentang dakwaan bahawa Pas ditawarkan menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar sebelum ini turut menafikan dakwaan pemimpin Pas kononnya ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Anwar berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, malah ia tidak pernah dibincangkan pada peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan atau BN.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan 19 pemimpin parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

"Jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin parti itu, kami tidak pernah menganggap (ia) satu perjumpaan rasmi. Tidak ada satu gerakan pun dibuat ke arah itu," ujarnya.

Beliau menambah, Kerajaan Perpaduan mementingkan kestabilan politik tetapi masih meraikan perbezaan pendapat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyindir, sekiranya Pas merasakan Kerajaan Perpaduan memerlukan mereka, parti itu sepatutnya menunjukkan kesungguhan untuk menyertai kerajaan.

"Yang penting adalah mereka harus memperlihatkannya menerusi perbahasan di Dewan Rakyat atau perbahasan ketika akta tertentu dibentangkan atau di dalam sidang akan datang sewaktu pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia kke-12 (RMK12) atau ketika pembentangan bajet pada Oktober ini, buktikannya dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut membidas dakwaan kononnya kedudukan beliau tergugat dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini tergugat.

"Saya mengalu-alukan pendapat berdasarkan 'mimpi di siang hari' itu. Insya-ALLAH saya beriltizam untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada ini," ulasnya.