Keluarga Hawari harap operasi SAR akan disambung

Iklan
Safiyyah bersama anak sulungnya, Hana Sakeena menunjukkan gambar Hawari semasa menaiki Gunung Everest. - Foto Bernama

KEPALA BATAS - Ahli keluarga Muhammad Hawari Hashim berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Misi Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang dilaporkan hilang itu, akan disambung.

Walaupun hari ini diumumkan sebagai hari terakhir operasi SAR berkenaan, ibunya, Che Tom Hassan, 64, tetap berharap kerajaan akan meneruskan usaha untuk mengesan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, yang hilang sejak 19 Mei lepas.

Iklan
Iklan

"Hawari seorang yang sangat ceria dan penyayang. Semua orang di kampung ini mudah bergaul dengan dia. Saya cuba menghubunginya sejak dia dilaporkan hilang. Setiap malam saya berdoa agar dia balik. Saya baca Yasin untuk dia, tetapi masih tak nampak sebarang tanda,” katanya kepada wartawan selepas lawatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, di sini pada Ahad.

Che Tom (kiri) bersama isteri Hawari, Safiyyah dan dua anaknya, Hana Sakeena (dua, kiri) dan Haris Sufyan di kediamannya pada Ahad. - Foto Bernama

Menurutnya, isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Li, 34, dan anak mereka, Hana Sakeena, 4, dan Haris Sufyan, 1, amat terkesan dari segi emosi dan berharap dapat mendengar berita keberadaan Muhammad Hawari, 33.

Iklan

Che Tom berkata, anak perempuan Muhammad Hawari, Hana Sakeena, melukis gambar keluarganya di pergunungan untuk menunjukkan bahawa ayahnya telah sampai ke puncak.

"Setiap malam sebelum tidur, Hana akan bertanya ibunya mengenai kepulangan ayahnya. Dia memang menunggu-nunggu untuk menjemput ayahnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan

"Anak-anak ini banyak bertanya mengenai ayah mereka yang hilang. Sebagai ahli keluarga, kami berharap SAR akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Saffiyah Tang yang juga OKU pertuturan, menerusi bahasa isyarat yang diterjemahkan sepupu Muhammad Hawari, Muhd Danish Danial Muhd Hafizul, 17, berkata, kali terakhir dia mengetahui keberadaan suaminya melalui maklumat terkini di media sosial.

"Kali terakhir saya lihat hantaran terkini dia di media sosial pada 15 Mei. Dia di Gunung Everest bersama bendera. Saya sangat berharap dapat mendengar khabar daripada suami saya dalam waktu terdekat ini, kami sangat merindui kehadirannya di sini,” katanya.

Hana Sakeena menunjukkan lukisannya yang dilukis menunjukkan bapanya bersama ibu dan adiknya menaiki Gunung Everest. - Foto Bernama

Pada 19 Mei, Muhammad Hawari, seorang daripada peserta misi ME2023, dilaporkan hilang di kawasan pergunungan ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Pada hari yang sama, seorang lagi peserta misi, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Everest.

ME2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud dan disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest, Azim Afif Ishak, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu pada 2 April.

Ekspedisi itu dijadual tamat pada 2 Jun, dan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan. - Bernama