Kontraktor rugi lebih RM500,000 terpedaya tawaran Datuk Seri

Iklan
Seorang kontraktor kerugian RM571,000 selepas menjadi mangsa individu menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang melalui tawaran anugerah darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri. - Gambar hiasan 123RF

KUANTAN - Seorang kontraktor kerugian RM571,000 selepas menjadi mangsa individu menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang melalui tawaran anugerah darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, lelaki warga emas berusia 63 tahun itu dihubungi suspek dengan menawarkan darjah kebesaran Negeri Pahang pada pertengahan Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa mempunyai enam kuota anugerah kebesaran tersebut dan menawarkannya dengan syarat mangsa perlu menyumbang untuk program-program istana tanpa sebarang bayaran.

"Mangsa berminat dengan tawaran dan turut mempelawa empat kenalan untuk mendapatkan gelaran tersebut," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Yahaya berkata, dalam tempoh Februari sehingga Mei ini, suspek telah meminta beberapa kali sumbangan daripada mangsa kononnya untuk program anjuran Istana Pahang.

"Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Kuantan pada Khamis," jelasnya.

Iklan

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar merujuk atau membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelak ditipu.

"Orang ramai turut diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.