Pembahagian kerusi PRN hampir selesai - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (duduk, kiri) beramah mesra bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (duduk, kanan) pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Negeri Melaka pada Sabtu. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh (duduk, tengah). --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR GAJAH - Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di peringkat negeri telah hampir selesai, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan itu kemudiannya akan dibawa ke peringkat pusat untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

"Mana-mana kerusi yang akan diselesaikan antara parti-parti di dalam BN akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu, begitu juga saya yakin (dengan) parti-parti di dalam PH,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Melaka di sini malam ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini termasuk bagi mendengar persiapan parti-parti bagi menghadapi PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, BN dan PH juga tidak memandang ringan persaingan di enam PRN berkenaan memandangkan ia bakal mencerminkan manifestasi penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Iklan

"Insya-ALLAH segala persiapan akan dibuat dengan rapi dan yang penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) serta peringkat lokaliti,” katanya. - Bernama