Tiga kru kapal tangki terbakar masih gagal ditemui

Iklan
Kapal MT Pablo dilaporkan terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Satyam Tripathi, Sabit Shenderovsky, Dinesh Kumar

JOHOR BAHRU - Operasi pencarian tiga kru kapal yang dilaporkan hilang dalam kebakaran kapal tangki MT Pablo pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada Isnin masih gagal meskipun kawasan pencarian telah diperluaskan kepada empat sektor di perairan berkenaan.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tiga kru kapal berkenaan dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, merupakan warganegara India manakala seorang lagi, warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

Iklan
Iklan

"Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Kebakaran melibatkan 50 peratus daripada keseluruhan kapal di mana bahagian tengah kapal paling teruk terjejas.

"Kapal tangki berkenaan dilaporkan masih dalam keadaan terapung. Ketika kejadian kapal tangki berkenaan kosong kerana dalam perjalanan ke Singapura untuk mengambil minyak mentah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor pada Selasa.

Iklan
Lepyoshkin Oleksandr (dua dari kiri) menceritakan pengalaman cemas kapal tangki terbakar ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor pada Selasa.

Saiful Lizan berkata, seramai 136 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR sejak Isnin membabitkan sebuah pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia, sembilan aset laut termasuk dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan tiba pada pagi Rabu bagi membantu operasi SAR. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR telah dibahagikan kepada empat sektor dan diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi.

Iklan

"Setakat ini tiada tumpahan minyak berlaku, namun pemantauan rapi giat dilakukan sebagai persiapan sekiranya berlaku tumpahan minyak kapal," ujarnya.

Kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal sebelum dilaporkan terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili sekitar jam 3 petang pada Isnin.

Seramai 25 kru berjaya diselamatkan di mana empat daripada mereka mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Sementara itu, kapten kapal berkenaan Lepyoshkin Oleksandr dari Russia memberitahu, kejadian kebakaran kapal tangki itu berlaku secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke Singapura bagi mengambil muatan minyak mentah di republik berkenaan.

"Berlaku letupan kuat seperti bom jatuh atas kapal sehingga tingkap kaca atas kapal pecah sebelum ia terbakar. Saya cuba membuat panggilan kecemasan namun peralatan di atas kapal semuanya sudah rosak dan terbakar.

"Kami bernasib baik kerana ada dua kapal berada berhampiran yang memberikan bantuan kecemasan segera termasuk membantu menyelamatkan kru kami yang sedang panik dan ketakutan," jelasnya.