Kecewa layanan kakitangan syarikat penapis air

Iklan
Nurzhani menunjukkan laporan polis yang dibuat dan kesan terbakar pada mesin penapis air yang turut merosakkan kabinet dapur miliknya

SHAH ALAM - Respons dan tindakan acuh tak acuh khidmat pelanggan serta pasukan penyelenggaraan sebuah syarikat mesin penapis air selepas laporan berkaitan kerosakan dibuat cukup mengecewakan penggunanya.

Ahli perniagaan, Datuk Seri Nurzhani Harun berkata, dalam kejadian pada 15 April lalu, produk penapis air yang berada di dapur terbakar secara tiba-tiba dan bernasib baik kerana isterinya yang berada kediaman sempat bertindak memadamkan api.

Iklan
Iklan

"Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5.30 petang dan saya berada di luar membeli juadah berbuka. Nasib baik isteri ada di rumah dan bertindak pantas memadamkan kebakaran.

"Apa yang mengecewakan saya adalah, apabila panggilan dibuat kepada pegawai khidmat pelanggan apa yang berlaku, dia cuma meminta untuk menghantar e-mel berkaitan masalah yang dihadapi," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau turut mendakwa individu bertanggungjawab berkaitan kerosakan produk itu cuma datang dua hari kemudian selepas dihubungi.

"Itu pun dia mengatakan bahawa kerosakan tersebut berlaku berpunca daripada plag. Sedangkan bahagian plag dalam keadaan baik dan tiada kesan hangus," ujar beliau.

Iklan

Nurzhani berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat selain menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Mungkin selepas Aidilfitri saya dan isteri akan bertemu dengan peguam untuk berbincang mengenai tindakan yang boleh diambil.

"Isteri saya berada dalam keadaan trauma ketika ini selepas melihat kebakaran mesin penapis air tersebut. Hampir setiap malam dia sukar untuk tidur kerana risau perkara sama boleh berulang," jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap orang ramai yang menggunakan mesin penapis air untuk mematikan suis sekiranya meninggalkan kediaman tanpa penghuni lebih-lebih lagi ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.