'Buru lailatulqadar lebih afdal dari teka tarikh raya'

Iklan
Zamri Hashim

IPOH - Umat Islam dinasihat menumpukan ibadat bagi memburu malam lailatulqadar daripada berpolemik mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, orang ramai di negara ini tidak seharusnya terpengaruh dengan jangkaan tarikh Aidilfitri di negara lain sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua pihak perlu akur dengan ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan satu Syawal.

"Umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada memburu malam lailatulqadar daripada menyibukkan diri dengan meneka tarikh Aidilfitri sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu.

Iklan

"Salafussoleh (sahabat Nabi Muhammad SAW dan tabiin) sangat mengharapkan sekiranya mereka hidup di dalam bulan Ramadhan sepanjang tahun kerana mereka tahu nilainya malam dan siang bulan Ramadan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zamri berkata, penentuan awal Syawal di negara ini dibuat melalui rukyah dan hisab yang meletakkan kaedah imkanur rukyah sebagai kaedah penting.

Iklan

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan perbezaan matla' iaitu kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama dan metodologi yang berbeza dalam penentuan awal bulan hijrah di negara masing-masing.

Sebelum ini, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.