Taktik baharu seludup diesel guna lori tangki berdaftar

Iklan
Norena (dua dari kiri) melihat lori tangki berdaftar dipercayai digunakan untuk menyeludup minyak diesel bersubsidi.

MELAKA - Sindiket penyeludupan minyak bersubsidi yang cuba mengaburi mata penguat kuasa dengan menggunakan lori tangki berdaftar berjaya ditumpaskan dalam satu operasi di Krubong di sini, pada awal pagi Rabu.

Serbuan pada jam 5.30 pagi itu, berjaya merampas 60,400 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dalam sebuah premis di kawasan perindustrian yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak.

Iklan
Iklan

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, turut ditahan dalam serbuan itu dua suspek lelaki berusia 41 dan 46 tahun ketika tidur dalam premis terbabit.

Menurutnya, intipan yang dilakukan pasukan Gerakan Am (PGA) melalui Op Tiris sejak sebulan lalu berjaya mengesan pergerakan sindiket terbabit termasuk menjadi pembekal atau hab minyak diesel bagi pasaran gelap perindustrian kilang.

Iklan

"Dua suspek itu dipercayai berperanan untuk memindahkan minyak dari lori kecil ke dalam sebuah lori tangki berdaftar, sebelum menjualnya di kawasan kilang-kilang pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar di Krubong di sini, pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, ini merupakan kes pertama penyeludupan minyak diesel yang dikesan menggunakan lori tangki berdaftar.

Ujar beliau, lori tangki terbabit mempunyai dokumen, menyebabkan sukar bagi pihak berkuasa untuk mengesan penyelewengan yang dilakukan.

"Sindiket ini mengaut keuntungan mudah dengan membeli minyak pada harga rendah dan jual semula di kawasan perindustrian dengan harga agak mahal," katanya lagi.

Kedua-dua suspek terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.