Saman fitnah: Sanusi diarah bayar RM120,000 kepada Mahfuz

Iklan
Mahfuz Omar dan Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gagal dalam rayuan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Mahfuz, Noorazmir Zakaria menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Iklan
Iklan

Katanya, dalam persidangan Mahkamah Rayuan secara zoom pada Isnin, permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan.

"Rayuan Menteri Besar Kedah terhadap saman fitnah Mahfuz ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Iklan

"Rayuan anak guam untuk menaikkan jumlah ganti rugi pula dibenarkan, daripada RM50,000 kepada RM120,000," katanya dalam hantaran terbabit.

Menurutnya, secara peribadi dia menyifatkan jumlah ganti rugi itu paling tinggi selama dia mengendalikan kes saman fitnah.

Iklan

"Inilah jumlah ganti rugi yang paling tinggi dapat. Susah nak lepas nilai ratus ribu sekarang ni," katanya.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Mahkamah Tinggi pada November 2021 kemudiannya memerintahkan Sanusi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz.