Empat ditahan pecah masuk kediaman, curi barangan mewah

Iklan
Sebahagian jam tangan berjenama yang berjaya dirampas pihak polis dan alatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

MELAKA - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan susulan beberapa kejadian pecah masuk rumah dan kecurian barangan berjenama.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan yang dilakukan pada 14 dan 22 Mac lalu berjaya menahan kumpulan sindiket ini berusia 34 hingga 51 tahun di Kuala Lumpur dan Selangor.

Iklan
Iklan

Sebahagian barangan berjenama yang disyaki dilarikan kumpulan jenayah itu selepas pecah masuk kediaman.


Menurutnya, kumpulan terbabit menyasarkan kediaman mewah seperti pangsapuri, kondominum dan residensi untuk melakukan perbuatan jenayah tersebut sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Katanya, sebelum penahanan dilakukan kumpulan jenayah ini telah memecah masuk sebuah kondominium di Klebang pada 2 Mac lalu menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM50,000.

Iklan

"Hasil soal siasat kita melakukan serbuan kedua dan menahan seorang suspek lelaki dan wanita selain turut merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, telefon bimbit serta dua kenderaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau, turut dirampas pelbagai alatan pecah rumah serta pakaian dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan curi.

Iklan

"Dengan tertangkapnya semua suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah membabitkan kontinjen Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.