Ahli Dewan Negara bahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja

Iklan
Seramai 38 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lepas di Dewan Negara.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 38 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lepas di Dewan Negara.

Sebelum menangguhkan sidang dewan pada jam 5.05 petang hari ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mohamad Ali Mohamad berkata, Isnin dan Selasa depan diperuntukkan bagi giliran menteri-menteri menjawab berdasarkan perbahasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, antara perkara yang dibangkitkan pada sesi perbahasan hari ini ialah soal membantu golongan B40 di Sarawak, isu pendatang tanpa izin di Sabah dan pengurusan tanah adat Orang Asli.

Senator Rita Sarimah Patrick Insol berharap agar subsidi tanaman secara bersasar dan penyediaan tapak bagi tanaman kelapa sawit diperkenalkan semula bagi membantu golongan B40 di Sarawak keluar daripada kepompong kemiskinan.

Iklan

"Masyarakat Bumiputera di Sarawak kaya dengan tanah namun miskin dengan wang, miskin dengan mesin, miskin dengan kaedah dan sumber pembuatan yang lain. Subsidi tanaman termasuk penyediaan tapak bagi tanaman kelapa sawit sebelum ini telah memanfaatkan ramai keluarga B40...mereka berjaya beli kereta dan dapat hantar anak ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan mencadangkan supaya kerajaan Malaysia berbincang dengan kerajaan Filipina bagi membuka sebuah Pejabat Konsulat Jeneral di Sabah untuk menoktahkan isu pendatang tanpa izin dan pelarian di negeri itu.

Iklan

"Ini amat penting untuk menoktahkan masalah pendatang tanpa izin yang timbulkan pelbagai masalah sosial, meminta sedekah, mengganggu kecantikan bandar, membuat penyambungan paip air haram sehinggalah wujud tanah perkuburan di kawasan tidak sepatutnya seperti pencawang elektrik,” katanya.

Senator Manolan Ahmad pula mencadangkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Tanah Orang Asli bagi menyelaraskan kuasa kerajaan negeri dan persekutuan dalam mengurus perkara berkenaan.

"Kekangan yang berlaku sekarang ialah negeri ada kuasa atas tanah dan Persekutuan ada kuasa atas Orang Asli, maka tidak ada kerjasama yang berlaku dan yang menjadi mangsa Orang Asli," katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin depan. - Bernama