Inisiatif PPPM 2013-2025 rekod pencapaian positif - Fadhlina

Iklan
Fadhlina pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Inisiatif yang telah dilaksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) menunjukkan pencapaian positif setakat ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata sebagai contoh, kemasukan ke sekolah di semua peringkat menunjukkan peningkatan yang sangat ketara, sekali gus memastikan kanak-kanak di negara ini terus berada dalam sistem pendidikan.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks daya saing peringkat antarabangsa, Malaysia telah mencatatkan pencapaian murid yang memberansangkan dalam Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) 2019 dan pencapaian skor individu murid dalam mata pelajaran sains adalah yang tertinggi sejak penyertaan Malaysia dalam TIMSS bermula tahun 1999.

"Untuk Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), Malaysia mencapai peningkatan 13 peratus merentas literasi bacaan, matematik dan saintifik dari tahun 2012 hingga 2018,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding yang ingin mengetahui sejauh mana tahap keberkesanan dasar dan inisiatif pendidikan semasa yang bertujuan memperbaiki kualiti pendidikan Malaysia, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberikan perhatian dan mendukung dasar pendidikan yang telah ditetapkan kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025.

Iklan

"Dalam usaha melengkapi PPPM, KPM pastikan tunjang sistem pendidikan iaitu kurikulum kebangsaan melengkapi PPPM dan akan kekal relevan bagi memastikan anak murid yang lahir daripada pendidikan menggunakan kurikulum kebangsaan mempunyai sifat berdaya saing dan kompetitif apabila mereka tamat persekolahan,” katanya.

Fadhlina berkata inisiatif yang terkandung dalam PPPM dipantau rapi oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dengan menetapkan sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang tekal, melibatkan pengurusan tertinggi KPM secara langsung dalam menyemak prestasi pencapaian.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM ketika ini turut memberi penekanan kepada memastikan kurikulum kebangsaan diintegrasikan dengan teknologi, agar murid menjadi generasi fasih digital.

"Bagi menyokong pendekatan ini, KPM dalam proses akhir untuk memuktamadkan Dasar Pendidikan Digital yang akan menjadi elemen penting dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Mengenai kualiti guru, beliau berkata profesionalisme guru akan diperkasa menerusi pembangunan profesionalisme berterusan untuk memastikan semua guru KPM berkualiti, kompeten dan kekal bermotivasi dalam menjalankan tugas. - Bernama