Tingkatkan jumlah tenaga buruh wanita di Malaysia

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KADAR penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih rendah berbanding dengan negara lain di peringkat Asia Tenggara iaitu 55.5 peratus pada tahun 2021.

Melihat kepada perbandingan, Malaysia berada di tangga kelapan daripada 10 negara Asean bagi individu berusia 15 hingga 64 tahun dari segi penyertaan buruh wanita.

Iklan
Iklan

Negara seperti Laos, Kemboja dan Vietnam yang sedikit terkebelakang daripada sudut pembangunan dan pendidikan merekodkan kadar lebih tinggi iaitu masing-masing 74.8, 74.0 serta 69.6 peratus.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2021, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.7 juta.

Iklan

Daripada jumlah tersebut, populasi wanita hampir separuh iaitu 44.7 peratus, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh daripada kaum tersebut hanya 55.5 peratus.

Dari sudut pendidikan, kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi, bagaimanapun aspek kadar penyertaan dalam pasaran itu tidak selari.

Iklan

Pakar menyatakan, antara faktor penyertaan wanita rendah dalam pasaran buruh disebabkan perlu bersaing dengan pekerja asing terutama dalam sektor separa mahir dan berkemahiran rendah.

Ia ditambah pula dengan kesanggupan buruh asing menerima gaji rendah yang menyebabkan ada majikan menjadikan mereka ini sebagai keutamaan majikan dalam pengambilan pekerja.

Walaupun negara telah beralih fasa peralihan ke endemik akibat Covid-19, namun kesan pandemik itu masih dirasai sektor ekonomi lebih-lebih lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kesan daripada tekanan ekonomi dan keseimbangan kehidupan sewaktu pandemik juga telah menyebabkan ramai wanita berada di luar pasaran pekerjaan atas beberapa sebab; antaranya diberhentikan dan berhenti secara sukarela.

Ketika ini ramai wanita lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai keluarga lebih cenderung untuk bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan langsung dan dalam talian. Ada juga yang memasuki ekonomi gig yang dirasakan lebih fleksibel terutama waktu bekerja bagi menguruskan keluarga.

Justeru, perlu ada pendekatan holistik daripada kerajaan dengan mengambil kira pelbagai aspek wanita ketika ini bagi memastikan mereka dapat menyertai pasaran pekerjaan tanpa kekangan.