Dr Akmal tekad had umur calon Ketua Pemuda UMNO kepada 40 tahun

Iklan
Dr Muhamad Akmal - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dr Muhamad Akmal Saleh yang dilaporkan menang jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan memperoleh 105 undian setakat 12 tengah malam Sabtu menyifatkan kemenangan beliau itu menunjukkan bahawa akar umbi mahukan perubahan dalam parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga menyatakan tekad untuk meminda perlembagaan sayap itu dalam mengehadkan umur calon Ketua Pemuda kepada 40 tahun sahaja.

Iklan
Iklan

"Kali ini, saya sebagai calon dari akar umbi diangkat ke peringkat kepimpinan parti, ini menunjukkan ahli UMNO mahukan perubahan dalam parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di pekarangan Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pemuda UMNO akan lebih lantang bersuara menegur parti, ujar Dr Muhamad Akmal, sudah pasti teguran akan dibuat kepada kepimpinan parti dan perlu disertakan adab yang betul.

Mesyuarat tiga sayap UMNO bahagian, berlangsung pada Sabtu secara serentak di 191 bahagian seluruh negara, dengan agenda pemilihan kepimpinan baharu pergerakan itu bagi peringkat bahagian dan pusat.

Iklan

Seramai 150,000 perwakilan layak mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sesi 2023/2026.

Pertandingan bagi merebut kerusi Ketua Wanita UMNO, menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.

Kerusi Ketua Pemuda UMNO pula menyaksikan empat calon bertanding iaitu Dr Muhamad Akmal, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, Meor Hassan Mat Ali dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Bagi kerusi Ketua Puteri UMNO memperlihatkan pertembungan enam penjuru antara Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.

Baki dua calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.