Semua projek ECERDC diteruskan - MB

Iklan
Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta program ECERDC sempena Program Pembangunan Modal Insan ECERDC pada Khamis.

KOTA BHARU - Semua projek pembangunan di Kelantan melibatkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan diteruskan walaupun ada di antaranya menghadapi kelewatan daripada tarikh yang ditetapkan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek ECERDC banyak memberi manfaat kepada rakyat dan sehingga kini berjaya menarik pelaburan sehingga RM20.5 bilion.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, antara projek yang mengalami kelewatan ialah Lebuh Raya Spine Road (CSR).

Tambah Ahmad, hasil projek dan program ECERDC dijangka dapat meningkatkan pelaburan sehingga RM3 bilion dan bakal menyediakan peluang pekerjaan melibatkan 3,250 kedai sekali gus meningkatkan ekonomi di negeri ini terutama golongan B40.

Iklan

Sementara itu, beliau memberitahu, pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau akan diusahakan supaya dapat disiapkan untuk Sukan Malaysia 2026.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan beberapa projek utama pembangunan Persekutuan di negeri ini berstatus tergantung berikutan tidak ada perkembangan lanjut daripada pihak Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Antara yang disebut ialah Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan CSR.

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas mengingatkan ahli Pas supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membawa kebimbangan terhadap rakyat.

"Kita mahu terus melihat semua parti tidak bertelagah dan bersaing dalam suasana baik di negara ini.

"Negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan menerima pendapat semua parti untuk kebaikan bersama.

"Kita perlu berhati-hati terutama dalam usaha menjadikan Islam sebagai asas utama negara," katanya.