Anggota Rela tidak dibenar guna senjata api - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak dibenarkan menggunakan senjata api untuk sebarang tujuan termasuklah aktiviti membasmi musuh tanaman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan itu tertakluk di bawah Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, sekiranya terdapat keperluan, permohonan kebenaran menggunakan senjata api boleh dipertimbangkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, permohonan boleh dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tertakluk kepada Akta Senjata 1960 dan Akta Perhilitan 2010.

Iklan

"Pembasmian musuh tanaman merupakan bidang tugas dan tanggungjawab Perhilitan.

"Namun, di bawah Akta 752, anggota Rela boleh membantu mana-mana pasukan atau pihak berkuasa keselamatan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis apabila diminta oleh pasukan keselamatan atau pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang memintanya menyatakan sebab-sebab kelewatan penyerahan semula senjata api anggota Rela.

Hal ini katanya, telah menyebabkan penduduk Machang khususnya mengalami kerugian ratusan ribu ringgit hasil pertanian terutamanya pada musim buah-buahan akibat haiwan perosak yang sukar dibasmi tanpa bantuan anggota Rela bersenjata.