Buang hiasan ayat al- Quran: Kerajaan NS batal lesen peniaga

Iklan
Sinar Harian sebelum ini melaporkan longgokan hiasan ayat suci al-Quran dipercayai dibuang oleh pihak industri di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai. (Gambar kanan : Aminuddin - Foto Bernama)

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan membatalkan lesen perniagaan mana-mana pengusaha hiasan ayat al-Quran di negeri ini sekiranya mereka didapati membuang hiasan berkenaan di tepi jalan atau di tempat longgokan sampah.

Aminuddin (kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan pada malam Jumaat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Agama Islam negeri pada awal minggu ini berhubung tindakan susulan kerajaan negeri mengenai perbuatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tindakan serta-merta. Kerajaan negeri memandang serius kes ini. Mereka buang, kita batalkan lesen berniaga, kita akan tutup kedai- kedai yang terlibat dalam membuang ayat-ayat suci al- Quran di jalan ataupun ditempat pembuangan sampah.

"Kita akan rampas lesen mereka, tidak akan perbaharuinya (lesen perniagaan) dan tidak akan ada rasa belas kasihan lagi. Ini adalah tindakan yang cukup drastik oleh jawatankuasa," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis sambutan Israk Mikraj peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini pada malam Jumaat.

Iklan

"Apabila ada penemuan begini kita akan pastikan bahawa lesen mereka ditarik balik di seluruh Negeri Sembilan. Kalau yang dibuang di Nilai dan mereka ada cawangan lain di daerah-daerah mereka akan menerima akibat, tidak boleh berniaga di negeri ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan longgokan hiasan ayat suci al-Quran dipercayai dibuang oleh pihak industri di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai.

Iklan

Hiasan kebanyakannya berbentuk bingkai gambar itu ditemui pada jam 12.15 tengah hari oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menerusi rondaan berkala yang dilakukan.

Mengulas lanjut mengenai penemuan tersebut, Aminuddin berkata, pihak berkuasa telah berjaya mengesan pelakunya.

"Ada dua syarikat terlibat dan kita telah panggil kedua-duanya, kompaun telah dikeluarkan termasuklah amaran terakhir.

"Justeru, pemantauan akan sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama polis supaya kes seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya.