KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 minggu pertama di bawah Kerajaan Perpaduan dibuka penuh istiadat dengan ahli-ahli Parlimen baharu begitu bersemangat untuk melaksanakan tugas mereka di Parlimen.
Persidangan kali ini menjadi medan menguji potensi wakil rakyat yang dipilih pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada mereka ‘buat kerja’ membawa isu dan masalah rakyat atau sekadar hadir mencukupkan korum.
Pastinya semangat ahli-ahli Parlimen baharu ini seiring dengan semangat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan peranannya menjawab tiga soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di hari kedua persidangan iaitu pada Selasa, sebaik sahaja sesi soal jawab bermula.
Malah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan sesi MQT pada setiap Selasa akan dijawab Perdana Menteri sementara MQT pada setiap Khamis dijawab oleh menteri-menteri terlibat.
Johari sebelum ini berkata, sesi bersama Perdana Menteri itu merupakan antara pembaharuan yang akan dilaksanakan pada persidangan kali ini.
Seperti biasa, tidak sah jika persidangan Parlimen tidak hangat atau kecoh dengan ‘drama’ pertikaman lidah antara ahli Parlimen terutama apabila perbezaan pandangan gagal dikawal.
Sebagai contoh, suasana sedikit ‘hangat’ apabila terjadi pertikaman lidah pada hari kedua antara Datuk Dr Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Chong Zhemin (DAP-Kampar) ketika Wee sedang membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Wee yang menegur Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana mengimport telur ayam dari India bagi mengatasi isu kekurangan telur dalam negara disanggah oleh Zhemin yang tidak bersetuju dengan teguran itu sehingga mencetuskan suasana panas seketika.
Johari menegur Zhemin dan menyuruhnya duduk beberapa kali namun tidak dihirau oleh ahli Parlimen yang baru pertama kali bergelar wakil rakyat itu setelah menang pada PRU15 lepas.
Bagaimanapun, situasi kecoh tidak mengganggu Johari dan Timbalannya, Datuk Ramli Mohd Nor yang bijak mengawal keadaan dengan peringatan dan teguran agar semua ahli Parlimen mematuhi peraturan mesyuarat.
Ramli misalnya pada hari keempat persidangan mengingatkan ahli Parlimen agar sentiasa menjaga kelakuan dan etika bagi mengelak persepsi negatif berterusan masyarakat melabelkan Parlimen sebagai ‘zoo' selain menegur ahli Parlimen yang mengadakan ‘mesyuarat kecil’ (bersembang) ketika Dewan Rakyat berlangsung.
Terdahulu pada Isnin, selepas menyempurnakan istiadat pembukaan, ketika menyampaikan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyentuh pelbagai isu termasuk kepentingan kestabilan politik.
Al-Sultan Abdullah pada istiadat pembukaan itu menzahirkan harapan agar Anwar menjadi Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan baginda selain menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Lima puluh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kemudian mengambil bahagian membahaskan usul tersebut sepanjang empat hari persidangan.
Dalam pada itu persidangan minggu ini juga meluluskan pelantikan Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-15 diketuai Johari sebagai Pengerusi dan dianggotai enam ahli jawatankuasa.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (PH-Seremban) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (PH-Pandan).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Sidng kali ini turut menyaksikan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023 dibentang untuk bacaan kali pertama yang antara lain menaikkan penalti dan hukuman penjara bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 29 hari bermula dari 13 Februari hingga 30 Mac. - Bernama