Jangan salahkan BN, pelajar India gagal masuk matrikulasi: Mahadzir

Iklan
Mahadzir Khalid

SHAH ALAM - Tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyalahkan kerajaan BN kerana kegagalan kementerian itu dibawah PH memasukkan pelajar kaum India yang cemerlang ke dalam program matrikulasi tahun ini disifatkan amat memalukan, kata bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Beliau berkata, alasan Maszlee kononnya penawaran 2,200 tempat kepada kaum India bagi pengambilan 2018 oleh kerajaan BN bersifat one off berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi, satu dakwaan tidak betul.

Iklan
Iklan

"Kerajaan BN sebelum ini amat komited membantu kaum India dalam segala bidang, sebab itulah 1,500 tempat ditawarkan untuk Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada kaum tersebut secara tetap bermula daripada pengambilan tahun 2012.

"Komitmen untuk membantu kaum India ini dipertingkatkan pada 23 April 2017 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia sebagai satu dokumen rasmi kerajaan bagi pembangunan komuniti India untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam, Maszlee dalam satu kenyataan mendakwa, pengambilan pelajar bukan Bumiputera untuk ke program matrikulasi adalah bersifat one-off berdasarkan kepada keperluan dan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi.

Mengulas lanjut, Mahadzir berkata, antara komponen penting Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia adalah janji kerajaan BN untuk melakukan intervensi-intervensi tertentu bagi meningkatkan enrolmen pelajar India di universiti awam, kolej dan politeknik sekurang-kurangnya tujuh peratus.

Iklan

"Pada 24 Mac 2018, Najib mengumumkan kerajaan sedang mengkaji langkah untuk menambah bilangan pelajar kaum India di kolej matrikulasi dan Institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk mengkaji tambah bidang atau tempat matrikulasi.

"Ini diikuti dengan pengumuman pada 7 April 2018 bahawa Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan saya bersetuju menambah 700 lagi pelajar India ke kolej matrikulasi bermula sesi pengajian tahun itu menjadikan keseluruhan 2,200 pelajar," katanya.

Tambahnya, pengumuman penambahan 700 lagi pelajar India ke kolej matrikulasi bermula sesi pengajian tahun itu adalah bukti bahawa jika BN masih menjadi kerajaan bilangan keseluruhan 2,200 pelajar akan dikekalkan pada tahun seterusnya.

"Malah, kerajaan BN sebelum mengalami kekalahan dalam PRU14, sebenarnya mempunyai pelbagai perancangan lain bagi memastikan enrolmen pelajar-pelajar India di universiti awam, kolej dan politeknik mencapai tahap sekurang-kurangnya tujuh peratus.

"Tidak hairanlah jika pengundi India kembali menyokong BN dalam PRK Rantau baru-baru ini kerana kerajaan PH nyata gagal menjaga kepentingan mereka," katanya.