Rakyat Malaysia kongsi detik cemas gempa bumi di Turkiye

Iklan
Gambar udara diambil dron menunjukkan kakitangan kecemasan ketika operasi mencari dan menyelamat di tapak bangunan runtuh selepas gempa bumi di Iskenderun, daerah Hatay, Turki pada Selasa. - Foto EPA (Gambar kecil: Tangkap layar video Facebook Dhiya' Urrahman)

SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia, Dhiya' Urrahman yang menetap di Sanliurfa, Turkiye berkongsi detik cemas ketika gempa bumi melanda negara itu yang mengakibatkan ratusan bangunan runtuh.

Menurutnya, pada jam 4.30 pagi itu, beliau dan isteri yang sedang tidur dikejutkan dengan gempa bumi yang kuat bercampur dengan gegaran sehingga menimbulkan suasana cemas.

Iklan
Iklan

"Saya dan isteri terus bangun dengan perasaan panik dan takut bergegas keluar dari rumah.

"Mujur kami sempat bawa power bank dan telefon bersama kami," katanya.

Iklan

Kejadian yang berlaku di beberapa negeri di timur Turkiye menyebabkan pihak berkuasa tidak membenarkan mereka tidur di rumah masing-masing memandangkan akan berlaku susulan gempa.

Jelasnya, terdapat khemah yang disediakan sebagai tempat berlindung sementara bagi kawasan yang terjejas dengan gempa termasuk di sempadan Syria dan Iraq.

Iklan

"Mereka memasang khemah di beberapa kawasan sebagai tempat perlindungan mangsa memandangkan cuaca sekarang ini baru lepas salji mencair dan bercampur pula dengan hujan sehingga keadaan begitu sejuk, namun pasukan yang ditugaskan mencari mangsa runtuhan masih tidak berhenti walaupun cuaca agak tidak baik.

"Jadi kami di sini bersama dengan semua masyarakat Sanliurfa tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana jangkaan berlaku runtuhan pada bila-bila masa sahaja," katanya sambil menambah dia kini tinggal sehelai sepinggang.

Beliau menjelaskan, kejadian gempa bumi kali ini lebih dahsyat berbanding pada 1990 namun angka korbannya mencecah 1,000 mangsa.

Katanya, selain Sanliurfa, beberapa kawasan seperti Malatya, Kahranmanmaras, Osmaniye dan Gazientep mengalami keadaan yang teruk seperti berlaku peperangan.

"Sahabat saya yang tinggal di Osmaniye semasa berlaku gempa bumi yang pertama pukul 4.30 pagi semalam melaungkan azan sebanyak tiga kali dan melihat sendiri keadaan runtuhan bangunan seperti berlaku peperangan," katanya dalam hantaran video di Facebook pada Isnin.