Henti aktiviti atau kena tindakan undang-undang

Iklan
Salehuddin (Kiri) meninjau pembinaan Empangan Sabo di loji rawatan air Sungai Bilut, hari ini.

RAUB - Penduduk dan pemilik tanah di hulu Sungai Bilut diminta menghentikan segala aktiviti yang menjadi punca gangguan bekalan air di daerah itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak berkata, tempoh sebulan diberikan kepada pasukan petugas khas untuk rundingan bersama penduduk terlibat.

Iklan
Iklan

Menurutnya,jika rundingan itu tidak berjaya, penduduk atau pemilik tanah yang gagal memberikan kerjasama boleh dikenakan tindakan undang-undang

"Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah Raub, Datuk Hamdan Hussin menubuhkan pasukan petugas untuk rundingan bersama penduduk supaya menghentikan aktiviti pertanian di dalam kawasan 20 meter dari tebing sungai.

Iklan

"Jika rundingan gagal, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Enakmen Sumber Air Negeri Pahang yang memperuntukkan denda sehingga RM250,000 atau dua tahun penjara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pembinaan Empangan Sabo di loji rawatan air Sungai Bilut, di sini hari ini.

Iklan

Turut serta, ADUN Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin; Pegawai Daerah, Datuk Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Perbadanan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Dahnial Daud.

Lawatan kerja itu susulan kekerapan gangguan bekalan air di daerah itu dan tahun ini sahaja loji terbabit telah ditutup sebanyak 15 kali.

Situasi itu berlaku kerana masalah kekeruhan air melebihi 1,000 NTU dan pernah mencatatkan hingga 11,000 NTU pada November tahun lalu.