Polis KL terima 444,120 laporan tahun lalu

Iklan
Azmi (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima sebanyak 444,120 laporan melibatkan pelbagai aduan pada tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan laporan yang diterima berbanding 2021 iaitu sebanyak 374,588.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, laporan itu turut membabitkan kesalahan trafik, jenayah, narkotik dan komersial.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu, kita menganggarkan sebanyak 50 laporan yang kami terima secara purata setiap hari di semua balai polis di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Pada pandangan saya, peningkatan ini adalah sesuatu yang baik kerana ia memperlihatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis menyebabkan mereka terpanggil untuk membuat laporan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

Iklan

Azmi berkata, semua laporan yang diterima diambil tindakan dengan siasatan dan tindakan yang berbeza bergantung kepada situasi kes.

"Sebanyak 60 peratus laporan diterima diklasifikasi sebagai laporan yang dirujuk kepada agensi lain serta tindakan pentadbiran seperti kes kematian semula jadi, manakala 40 peratus laporan diterima dirujuk dengan elemen siasatan," katanya.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 86,409 kertas sisatsan dibuka membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 79,621 kes sudah dituduh di mahkamah pada tahun lalu dan jumlah itu meningkat sebanyak 25,660 kes berbanding 53,961 kes dituduh pada 2021.

"Kita memperoleh kadar pertuduhan serta pendakwaan yang tinggi di mahkamah berbanding kontinjen lain," katanya.

Azmi berkata, sebanyak 14,342 operasi dijalankan menerusi JSJ, JSJK, JSJN dan JSPT IPK Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.

"Selain itu, tindakan pencegahan membabitkan elemen mendidik masyarakat mengenai kesedaran jenayah juga dilaksanakan Polis Kuala Lumpur dengan 63,560 program dijalankan sepanjang tahun lalu," ujarnya.