Pegawai kesihatan persekitaran dipenjara sehari, denda RM10,000

Iklan
Sumardi (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah di Butterworth, pada Selasa.

BUTTERWORTH - Seorang pegawai kesihatan persekitaran dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini selepas mengaku salah menerima wang suapan pada 2016.

Tertuduh, Sumardi Yazid, 41, membuat pengakuan itu atas pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) didakwa menerima wang tunai RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan SPT Berapit, Bukit Mertajam.

Iklan

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili peguam, Ang Chun Pun merayu agar hukuman ringan diberikan berikutan anak guamnya yang digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mertua yang diserang strok.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mesej kepada orang ramai, termasuk penjawat awam bahawa perbuatan menerima rasuah adalah kesalahan serius.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000, jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.