Biar dipecat dari UMNO, hasrat KJ jadi PM belum terkubur

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto Awani

KUALA LUMPUR - Susulan pemecatannya daripada UMNO pada Jumaat lalu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih menyimpan harapan untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

Namun begitu, bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak pasti bagaimana hasrat berkenaan akan dicapai.

Iklan
Iklan

"Saya ingin mendapat keistimewaan suatu hari nanti untuk memimpin negara. Saya tidak pasti bagaimana ia akan berlaku sekarang, tetapi saya faham bahawa politik bukan jalan yang sentiasa lurus... pasti ada jalan berliku sebelum seseorang itu muncul sebagai pemimpin, bukan sahaja parti mereka, tetapi negara.

"Jadi saya masih menyimpan impian untuk memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya mahu lakukan, saya masih tidak tahu, tetapi saya ingin memastikan bahawa keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan akan datang keputusan yang berdasarkan visi negara yang saya mahukan," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program The Breakfast Grill di BFM pada pagi Isnin.

Iklan

Dalam masa sama, Khairy masih belum memutuskan langkah selanjutnya, sama ada kekal dalam politik atau beralih arah ke bidang lain buat sementara waktu.

Malah bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga dalam nada bergurau memaklumkan, jadualnya penuh sepanjang minggu ini dengan jemputan makan tengah hari.

Iklan

"Saya akan berjumpa sesiapa yang mahu berjumpa... saya akan mendengar apa yang mereka mahu katakan dan saya tidak kekurangan jemputan makan tengah hari, minggu ini. Saya tidak fikir saya perlu membayar untuk makan tengah hari minggu ini.

Jelas Khairy, beliau mempunyai kriteria tersendiri dalam membuat pertimbangan sebelum menyertai mana-mana parti politik, jika itu langkah yang mahu diambil selepas ini.

"Ia mesti sejajar dengan wawasan saya sendiri untuk mewujudkan negara yang inklusif. Satu negara yang berasaskan tadbir urus yang baik. Satu negara yang progresif tetapi ia juga harus sesuai, antara kami ada keserasian.

"Sudah tentu, menyertai parti politik baharu akan menjadi janggal pada mulanya kerana mungkin, anda pernah bertelagah pada satu ketika sebagai parti lawan, tetapi itulah politik. Ia tentang memenangkan dan meyakinkan orang lain.

"Saya fikir saya bersedia untuk itu, tetapi ia perlu sejajar dengan visi dan bukan hanya mengambil kesempatan," kata personaliti berusia 47 tahun itu lagi.

Tambahnya, mahu membuang UMNO terus dari hidupnya bukan perkara mudah apatah lagi selepas mengabdikan diri selama 23 tahun dengan parti yang sama.

Malah, fakta bahawa beliau dipecat dan bukan mengundurkan diri, menjadikan situasi lebih sukar.

Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun tidak menolak untuk kembali kepada UMNO satu hari nanti, namun menegaskan, ia hanya akan berlaku jika parti Melayu itu melaksanakan perubahan dan bukan lagi entiti yang sama seperti hari ini.

"Saya telah memikirkan soalan ini sejak dua hari lepas dan saya tidak pasti. Tetapi kemerosotan UMNO sudah bermula lama dahulu, saya takut ia sudah sampai ke titik tiada jalan kembali.

"Jadi jika saya terfikir untuk kembali ke UMNO, ia mesti menjadi entiti yang sangat berbeza daripada hari ini. Kepimpinannya juga telah merosot dengan teruk, dan saya tidak pasti ia boleh pulih," tegas Khairy lagi. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:Anwar harus tanya apa nilai dibawa Zahid dalam kerajaan - KJ

ARTIKEL BERKAITAN:Terima banyak tawaran, KJ sedang pilih 'kelab' paling sesuai

ARTIKEL BERKAITAN:Khairy tidak akan merayu pemecatan daripada UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:‘Shahril sepatutnya jadi Ketua Pemuda UMNO’ - KJ