Nadma minta negeri berisiko banjir tingkatkan kesiapsiagaan

Iklan
Pemandu lori, Awang Mat Yahya, 55, tidak melepaskan peluang memasang jaring di sekitar rumahya di Kampung Perpat, Tanjung Sedili yang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan ketika tinjauan pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meminta empat negeri mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

Nadma dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia susulan amaran hujan berterusan di peringkat waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 2 petang tadi membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Iklan
Iklan

"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

"Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Katanya, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat tentang sebarang bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my.

Sementara itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua bagi perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga 31 Jan ini.

Iklan

Menerusi hantaran di Facebook itu, MetMalaysia memaklumkan keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk aktiviti menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Amaran kenaikan paras laut turut dijangka berlaku di lokasi sama sehingga 31 Jan ini yang akan merisikokan kepada limpahan air laut di pesisiran pantai,” menurut kenyataan itu. - Bernama